Wednesday, January 21, 2009

KEPIMPINAN DALAM ISLAM


Menuju Keredaan Allah

Konsep kepimpinan dalam Islam

MENURUT perspektif Islam, Kepimpinan merupakan sesuatu amanah yang wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, manakala pemimpin pula adalah bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan menjaga apa yang diamanahkan kepadanya. Antara yang perlu dijaga oleh seseorang pemimpin ialah menjaga dirinya daripada melakukan perbuatan mengkar dan menunaikan kewajipan syarak dan tugas-tugas yang dipikulkan kepadanya dengan baik dan adil.

Kepimpinan bukan sahaja dikaitan dengan tanggungjawab kepimpinan dalam bentuk kelompok, bahkan kepada diri sendiri seperti mengawal pancaindera supaya sentiasa penuh mentaati Allah, menjauhi larangan-Nya, baik dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun dari sudut aqidah dan keyakinan sehingga mengakibatkan penyelewengan. Matlamatnya pula adalah untuk mempertingkatkan kualiti diri bagi melahirkan kepimpinan melalui teladan atau menjadi 'qudwah hasanah' yang seterusnya akan menghasilkan tokoh-tokoh pemimpin yang menjadi ikutan ramai dan pimpinan kepada orang lain serta masyarakat dari kelompok yang sedikit kepada yang lebih besar.

Kepimpinan dalam Islam adalah bersifat sepadu yang menitikberatkan kesimbangan di antara kepentingan roh dan jasad, antara perkembangan pembangunan spiritual dengan perkembangan material demi menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunai dan di akhirat. Untuk mencapai matlamat kepimpinan yang bersepadu tersebut, pemimpin mestilah dipilih daripada, kalangan orang-orang yang paling berwibawa dan berkelayakan kerana penyerahan kuasa kepada orang yang tidak berkelayakan dan sesuai adalah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.

Justeru itu pemimpin mestilah berusaha mempertingkatkan kualiti diri dan kualiti kepimpinannya ke tahap yang lebih cemerlang. Kepimpinan dalam Islam bukanlah alat untuk memperoleh kekayaan, pangkat dan kesenangan hidup di dunai semata-mata, malah ianya merupakan amanah yang wajib ditunaikan demi kesejahteraan umat manusia seluruhnya. Kalalaian dan kegagalan pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut sama ada pemimpin yang memimpin dalam keluarga dan rumah tangga, masyarakat atau negara akan mengakibatkan penyesalan dan kerugian di hari akhirat kelak.

Kepimpinan adalah suatu fungsi yang penting dalam Islam. Seorang individu menjadi pemimpin kepada dirinya sendiri, suami isteri mempunyai tugas kepimpinan mereka di dalam rumah tangga dan keluarga, imam memimpin jemaah solatnya sebagai para makmum, ketua masyarakat dan ketua negara memimpin rakyat serta seluruh warganya. Ini menunjukkan fungsi kepimpinan wujud di semua peringkat mengikut tahap-tahap dan tugas-tugas tertentu yang berbeza-beza. Namun objektif kepimpinan dalam Islam secara yang sama iaitu mengajak manusia seluruhnya kepada perkara-perkara makruf dan mencegah dari perkara-perkara mengkar yang akhirnya akan membawa umat manusia hidup di dalam suasana yang aman dan sejahtera.

Firman Allah Subahanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 110 yang tafsirnya :

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah."

Tegasnya, tugas kepimpinan yang telah digariskan dalam Islam ialah mendaulatkan kalimah Allah di pelbagai tahap dan peringkat tanggungjawab masing-masing. Umpamanya seorang lelaki yang telah berkeluarga mempunyai tanggungjawab yang lebih banyak berbanding mereka yang belum ada tanggungan, kerana ianya harus menunaikan tanggungjawab kepada dirinya dan keluarganya. Begitu juga seorang suami yang diberi amanah yang lain sebagai pemimpin masyarakat akan lebih berat tanggungjawab terhadap keluarga dan negara.

Oleh itu, konsep kepimpinan yang berjaya menuntut supaya Islam yang merangkumi konsep iman dan amal salih dapat ditegakkan dalam diri setiap individu, keluarga dalam organisasinya, masyarakat dan negara sehingga kesepaduan antara kepentingan dunia dan akhirat dapat dicapai.

Antara cirri-ciri yang perlu dimiliki oleh setiap pemimpin yang baik adalah menurut petunjuk yang terkandung dalam Al-Our'an dan contoh kepimpinan yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana Baginda adalah contoh teladan yang unggul dalam segala bidang kehidupan. Baginda diutus sebagai pembimbing seluruh umat manusia sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam Surah Al-Anbiyaa' ayat 107 yang tafsirnya :

"Dan tidaklah Kami (Allah) mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam semesta."

Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan saja pemimpin agama yang memurnikan keyakinan dan aqidah umat manusia dari kegelapan kepada cahaya kebenaran. Baginda juga adalah pemimpin yang berjaya menyusun suatu pemerintahan yang terunggul meliputi segala bidang kehidupan manusia, politik, pentadbiran, ketahanan negara, ekonomi, pendidikan, kehidupan sosio budaya masyarakat seluruhnya yang harmoni. Baginda seorang penggubal undang-undang, Pembina akhlak dan nilai moral yang tinggi. Baginda juga merupakan contoh pemimpin di mana segala kehebatan, keunggulan dan keistimewaan dan keperibadian mulia terkumpul dalam diri Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kita sebagai umat Muhammad yang diberi amanah tanggungjawab oleh Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan ala mini daripada segala kemungkaran dan kefasiqkan dengan tugas kepimpinan yang tertentu mengikut tahap dan peringkat yang berbeza-beza, iaitu sebagai individu, ahli keluarga, pemimpin masyarakat, pemimpin bangsa dan pemimpin negara adalah bertanggungjawab bagi meneruskan risalah dan perjuangan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, demi kebaikan dan kesejahteraan seluruh umat manusia.


0 comments: